mutakhir

Tiga ditahan cuba 'kurier' dadah

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Polis Selangor menahan tiga lelaki di tempat letak kenderaan bawah tanah sebuah pasar raya di Bangsar, Kuala Lumpur ketika cuba memindahkan 142.1 kilogram (kg) ketulan mampat disyaki ganja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, serbuan pada 2 petang 31 Mei lalu dilakukan pasukannya selepas risikan selama empat bulan.

Katanya, pihaknya mengesan kegiatan suspek berusia antara 23 hingga 49 tahun itu yang dipercayai menjadi tukang 'kurier' dadah dan ketika serbuan, mereka sedang memindahkan barang larangan terbabit daripada Toyota Vellfire ke Proton Preve.

"Pasukan menjumpai 145 ketulan mampat disyaki ganja yang dianggarkan bernilai RM355,250 dalam Proton Preve.

"Kita juga merampas tiga kenderaan yang digunakan suspek iaitu Toyota Vellfire, Proton Preve dan Proton Iswara yang mana, nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah adalah hampir RM500,000.

"Kita percaya kumpulan berkenaan mula aktif sejak empat bulan lalu dan dadah yang dirampas adalah untuk pasaran Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Ahmad Jefferi berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan THC.

Katanya, kesemua mereka dipercayai mendapat upah sekitar RM2,500 bagi kerja-kerja penghantaran dadah itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dalang sindiket.

"Dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 142,100 penagih sehari bagi setiap satu gram penggunaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2022 @ 12:50pm
d