NAZIR berucap selepas menerima anugerah Asia House di London.

Kuala Lumpur: Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak menerima Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia yang berprestij dari Asia House pada majlis makan malam gala pusat itu di London, baru-baru ini.

Anugerah berkenaan adalah pengiktirafan terhadap kelayakan perniagaan beliau dan kepimpinan nilainya.

Pengerusi Asia House Sir John Boyd berkata, pihaknya berbesar hati memberi penghargaan atas kejayaan dan usaha dilakukan Nazir.

“Beliau menekankan manfaat kerjasama dan perkongsian di ASEAN melalui sokongannya terhadap pembelajaran, kerja penyelidikan bebas dan usaha amal serta dalam strategi perniagaan yang diimpikan beliau, menunjukkan bagaimana usaha di ASEAN berjaya secara komersial mengeratkan penduduk untuk kebaikan bersama,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia oleh Asia House mengiktiraf sumbangan individu atas sumbangan keseluruhannya ke arah kejayaan ekonomi, kecemerlangan profesional, kepimpinan nilai dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Sepanjang 26 tahun Nazir di CIMB Group, beliau mengemudi institusi kewangan itu daripada bank perdagangan kecil sehingga menjadi penjana perbankan menyeluruh ASEAN pada hari ini.

Beliau meletakkan asas untuk CIMB Group berkembang menjadi kumpulan perkhidmatan kewangan kedua terbesar Malaysia, bank pelaburan berpangkalan di Asia Pasifik terbesar serta bank Islam global terkemuka.

Nazir berkata, anugerah itu dianggap turut mengiktiraf pencapaian rakan sekerjanya di CIMB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 6:21 AM