bisnes

TNB mohon maaf, bekalan pulih sepenuhnya

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa bekalan elektrik di negara ini adalah berdaya harap dan stabil di mana gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera, sepertimana dibuktikan dalam kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan tengah hari tadi.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, pihaknya bersyukur kerja pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas hasil kecekapan pasukan teknikal TNB selain rangkaian Grid Nasional itu sendiri mempunyai ciri-ciri pintar yang memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan bekalan.

"Kami dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan yang pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan.

"Pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa kejadian yang berpunca dari kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng Utara, Johor itu adalah kes terpencil dan kepantasan pemulihan bekalan menggambarkan tahap daya harap rangkaian sistem bekalan TNB.

Justeru, Baharin memberi komitmen bahawa TNB akan terus menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap dengan sentiasa melaksanakan senggaraan dan membuat pelaburan bagi meningkatkan keupayaan sistemnya.

"Keupayaan kami memulihkan bekalan hari ini adalah berikutan pelaburan besar dan berterusan TNB bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli," katanya.

Baharin turut memohon maaf kepada pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan itu dan TNB akan menjalankan siasatan terperinci bersama pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi mengambil langkah-langkah pencegahan dan usaha penambahbaikan.

Jelasnya, kerosakan di PMU Yong Peng Utara di Yong Peng itu tidak melibatkan sebarang kebakaran dan PMU tersebut telah pun beroperasi sepenuhnya.

Disiarkan pada: July 27, 2022 @ 5:46pm
d