mutakhir

Polis nafi satu lagi jurulatih penerbangan maut [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Jurulatih penerbangan yang cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini, malam tadi dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menafikan berita tular yang mengatakan satu lagi jurulatih penerbangan terbabit maut.

"Semalam saya dengar ada khabar angin mengatakan juruterbang itu meninggal dunia, itu tidak benar.

"Mangsa cedera berusia 62 tahun itu ketika ini masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dalam keadaan yang stabil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Bot Penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pagi ini akan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

"Semalam kita membantu mereka mengepung tempat berkenaan agar tiada pencerobohan dibuat ke atas bangkai pesawat terbabit.

"Satu sayap pesawat berkenaan patah. Kita membuat kawalan sepanjang malam sehingga ke pagi ini bagi memberi ruang kepada pihak CAAM untuk menjalankan siasatan," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, siasatan berhubung kejadian itu akan dijalankan oleh di bawah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan CAAM.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: August 2, 2022 @ 12:06pm
d