WM

Ketahui fungsi pendakap gigi

Oleh Hafiz Ithnin

PENDAKAP gigi sudah menjadi perkara yang tidak asing lagi buat si pemakainya. Malah, boleh dilihat ia penggunaannya merentasi pelbagai peringkat usia.

Namun, menjadi persoalan adakah kanak-kanak sesuai untuk memakai pendakap gigi? Ini kerana isu kesihatan dalam kalangan kanak-kanak pastinya menjadi perkara menjadi kebimbangan dalam kalangan ibu bapa atau penjaga.

Pakar Pergigian Ortodontik, Unit Ortodontik Klinik Pergigian Cahaya Suria, Dr Mohd Zambri Mohamed Makhbul berkata, pendakap gigi adalah sejenis alat yang digunakan dalam rawatan pergigian ortodontik.

Jelasnya, rawatan pergigian ortodontik adalah rawatan yang berfungsi untuk mengatur kedudukan gigi supaya berfungsi dalam keadaan yang baik dari segi kesihatan pergigian, pertuturan dan pengunyahan makanan.

"Rawatan pergigian ortodontik yang menggunakan pendakap gigi biasanya bermula pada umur 12 tahun iaitu selepas semua gigi kanak-kanak (gigi susu) diganti kepada gigi dewasa (gigi kekal).

"Namun, pendakap gigi mungkin diberi pada pesakit kanak-kanak di bawah umur 12 tahun mengikut keperluan maloklusi kerana pakar pergigian ortodontik ingin menjalankan rawatan ortodontik pintasan ke atas gigi kekal yang tidak tumbuh pada kedudukan betul ketika masih dalam fasa transisi iaitu masih ada gigi susu yang belum tanggal," katanya.

Pakar itu berkata, baru-baru ini, terdapat video viral yang menunjukkan pemasangan pendakap gigi kepada kanak-kanak yang boleh menyumbang kepada penyalahgunaan cara rawatan pergigian dan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi tanggapan masyarakat terhadap rawatan pendakap gigi.

"Pendakap gigi biasanya dilekatkan pada permukaan gigi kekal. Sekiranya pendakap gigi dilekatkan hanya untuk mengikut trend dan dipasang pada permukaan gigi susu, ia boleh bergerak.

"Pergerakan yang tidak terkawal kepada gigi susu itu seterusnya akan menjejaskan pertumbuhan gigi kekal yang masih terletak di dalam rahang iaitu di bawah akar gigi susu berkenaan," katanya.

Jelasnya, selain menjejaskan pertumbuhan gigi kekal, pemasangan pendakap gigi kepada kanak-kanak akan menyukarkan proses pembersihan gigi kerana golongan itu masih belum pandai untuk memberus gigi dengan betul.

"Memberus gigi yang kurang sempurna akan menyebabkan sisa-sisa makanan terlekat pada pendakap gigi berkenaan dan seterusnya mendorong kepada karies gigi serta pembengkakan gusi.

"Pendakap gigi yang dipasang pada kanak-kanak juga boleh menyebabkan risiko pendakap gigi tertanggal dari permukaan gigi," katanya.

Tambahnya, kanak-kanak lazimnya tidak tahu cara untuk memberitahu orang dewasa sekiranya terdapat masalah terhadap pendakap gigi mereka.

"Mereka sering menangis ketika masalah timbul dan ibu bapa yang tidak peka tidak akan sedar risiko yang sedang dialami.

"Contohnya, pendakap gigi yang tertanggal berkemungkinan menyebabkan risiko pendakap gigi tertelan. Lebih merisaukan lagi sekiranya bahagian pendakap gigi yang tertanggal itu masuk ke saluran pernafasan," katanya.

Jelasnya, keadaan ini boleh menyebabkan kematian sekiranya kanak-kanak itu lambat dibawa ke unit kecemasan hospital.

"Masyarakat perlu faham bahawa pemasangan pendakap gigi kepada kanak-kanak yang hanya untuk mengikut trend atau fesyen adalah berbahaya kerana boleh menjejaskan keadaan kesihatan gigi kanak-kanak pada masa depan," katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2022 @ 6:20am
d