mutakhir

Cubaan pecah masuk rumah gagal

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang Jaya: Cubaan tiga lelaki memecah masuk sebuah rumah di Jalan Indah, Pandan Indah, di sini, Khamis lalu gagal selepas disedari pemilik kediaman.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari pada jam 5.50 petang ketika pemilik melalui hadapan rumahnya dan terlihat Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan di parkir di depan kediaman.

Menurutnya, dia mengambil tindakan memintas kereta itu yang dinaiki tiga suspek bagaimanapun penjenayah dapat meloloskan diri.

"Kemudian dia membuat pemeriksaan di rumah dan mendapati pintu gril hadapan dipotong namun tiada barangan yang hilang," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohamad Farouk berkata, semakan melalui nombor pendaftaran kereta suspek didapati palsu dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2022 @ 9:22pm
d