mutakhir

Lelaki ditahan, pijak kepala anak

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang: Tindakan remaja perempuan mempertahankan ibunya daripada dipukul bapa menyebabkan dia dipijak oleh lelaki berkenaan dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Saga, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian jam 7.55 malam itu, mangsa berusia 16 tahun melihat pertengkaran antara ibunya dengan suspek berusia 50 tahun berkaitan isu wang.

"Suspek menyuruh ibu pengadu meminta wang daripada ahli keluarga yang lain, namun wanita terbabit enggan berbuat demikian menyebabkan lelaki itu marah dan menarik rambut ibu mangsa.

"Lelaki itu kemudian meminta pengadu menemani ibunya, namun dia enggan menemani ibunya ke rumah ahli keluarga yang lain menyebabkan bapanya marah lalu menjerit menggunakan kata-kata kesat.

"Malah, suspek juga bertindak menampar kepala sebelah kanan, menolak badan, memukul serta memijak kepala anak perempuannya itu. Pengadu kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, polis menahan suspek di tepi jalan Jalan Saga 6A, Taman Saga, di sini, kira-kira jam 4 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian itu disebabkan perselisihan faham dalam keluarga mengenai isu duit. Suspek tidak berpuas hati apabila pengadu tidak mendengar arahannya.

"Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang merujuk kepada sengaja menyebabkan kecederaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap orang lain," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2022 @ 3:29pm
d