mutakhir

6 sekeluarga nyaris rentung

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Enam sekeluarga nyaris rentung apabila rumah mereka hangus terbakar dalam kebakaran di Jalan Lama Bagan Tengkorak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, sebahagian mangsa sedang nyenyak tidur di kediaman berstruktur kayu itu.

Bagaimanapun, kesemua mereka masing-masing tiga lelaki dan perempuan terselamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 7.50 pagi.

Menurutnya, sepasukan 25 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dan Sekinchan dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan.

"Kebakaran itu turut membabitkan sebuah kereta Proton Saga dipercayai milik mangsa yang berada di hadapan rumah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, api berjaya dikawal dalam tempoh 37 minit dan padam sepenuhnya pada 10.50 pagi.

"Semasa kejadian, enam sekeluarga terbabit berada dalam rumah dengan sebahagiannya sedang tidur dan melakukan rutin harian.

"Semua mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum bomba tiba," katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: August 24, 2022 @ 11:13pm
d