Bola Sepak

Kecuali Melaka United, 11 pasukan Liga Super layak ke Piala Malaysia

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Semua pasukan Liga Super boleh menarik nafas lega apabila dijamin tempat beraksi dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula hujung Oktober ini.

Menerusi kenyataan media Liga Bolasepak Malaysia (MFL), daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super musim ini, hanya Melaka United tidak akan beraksi selepas gagal melunaskan tunggakan gaji pasukan itu.

Berdasarkan amalan musim sebelum ini, 11 pasukan terbaik daripada Liga Super akan meraih slot ke Piala Malaysia manakala lima lagi pasukan daripada Liga Perdana.

Begitupun, disebabkan isu tunggakan gaji itu, Melaka United tidak layak beraksi, sekali gus menyaksikan tiada pasukan yang akan tercicir ketika Penang FC, Sarawak United dan Petaling Jaya City berisiko menamatkan kempen di tangga terakhir liga, dengan masing-masing memiliki tiga hingga empat aksi berbaki dalam tangan.

"MFL mengumumkan semua pasukan Liga Super akan mengisi slot Piala Malaysia 2022 selepas satu daripadanya sudah ditinggalkan oleh Melaka United.

"Keputusan itu dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas ketiadaan Melaka United dalam aksi Piala Malaysia musim ini disebabkan kegagalan menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai.

"Melaka United kini sedang menduduki tempat kesembilan Liga Super 2022 dan tidak dibenarkan untuk bertanding dalam pertandingan Piala Malaysia 2022.

"Maka pasukan pengganti harus dipilih daripada Liga Super untuk mengekalkan bilangan 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan Liga Perdana dalam pertandingan Piala Malaysia 2022, jadi semua pasukan Liga Super kecuali Melaka United akan memperoleh slot Piala Malaysia 2022," kata MFL.

Disiarkan pada: September 27, 2022 @ 8:13pm
d