mutakhir

My Gaya platform pereka tempatan perkenal jenama

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Sentuhan pereka tempatan berpotensi untuk melonjakkan kembali industri kreatif yang turut terkesan akibat Covid-19.

Pengasas Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA), Bon Zainal berkata, pihaknya kini agresif untuk terus membantu menaikkan semula industri dengan membawa rekaan pereka tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, Bulan My Gaya 2022 menjadi platform holistik untuk menyokong rekaan pereka fesyen tempatan.

"Matlamat kami untuk menyokong pereka tempatan memperkenalkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

"Kami juga membantu mewujudkan ekosistem unik bagi memastikan identiti rekaan tempatan berupaya menembusi pasaran dunia," katanya pada pra-pelancaran Bulan My Gaya 2022, di sini, hari ini.

Bulan My Gaya akan berlangsung di pusat beli belah Fahrenheit88, di ibu kota bermula 6 Oktober hingga 10 November ini menampilkan pelbagai rekaan pakaian dan aksesori hasil anak tempatan.

Bon berkata, MBDA turut mendapat sokongan daripada sektor korporat dan kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membantu membuka akses lebih meluas kepada pelanggan.

Katanya, My Gaya adalah platform terbaik kepada pereka fesyen tempatan memperkenalkan jenama mereka dengan lebih meluas.

"Komuniti pereka fesyen tempatan akan terus diperkukuhkan dengan jaringan kerjasama tempatan dan antarabangsa.

"MBDA juga akan membantu merancakkan industri fesyen sambil mengukuhkan pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2022 @ 5:23pm
d