mutakhir

Laku amang seksual: Hukuman penjara, sebat terhadap tukang rumah kekal

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan terhadap seorang tukang rumah yang disabitkan bersalah atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikemukakan oleh Azri Rashid, 39.

Mahkamah juga memerintah tertuduh diletakkan dalam pengawasan polis selama satu tahun.

Sebelum ini, Azri didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Hakim Mahkamah Sesyen Nooriah Osman pada 14 Disember 2021 sebelum ini menjatuhkan hukuman berkenaan namun tertuduh membuat rayuan sebelum Hassan menolak rayuan itu dengan mengekalkan hukuman terhadap tertuduh berkuat kuasa pada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika kejadian berumur tujuh tahun tujuh bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah sebuah rumah di Marang, jam 4 petang pada 13 Mac 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Disiarkan pada: October 11, 2022 @ 7:33pm
d