mutakhir

Remaja lemas ketika bantu rakan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Hulu Selangor: Niat remaja lelaki untuk menyelamatkan rakannya yang hampir lemas bertukar tragedi apabila ditemukan lemas di Air Terjun Serendah, di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa dari Bestari Jaya pergi ke air terjun itu bersama dua rakannya untuk mandi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.20 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan laporan awal, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di kawasan berkenaan.

"Mangsa ditemui di dasar sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 2.55 petang.

"Pihak bomba berjaya menaikkan mangsa ke darat dan mangsa dipercayai sudah berada di dalam air selama sejam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norazam berkata, mangsa bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, usaha pencarian dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang.

"Ketika kejadian cuaca di lokasi hujan lebat dan arus sungai deras," katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2022 @ 5:25pm
d