Bola Sepak

Muslim janji tidak beri ruang kepada TFC

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Sri Pahang FC akan tampil dengan prestasi lebih baik apabila berdepan Terengganu FC (TFC) pada perlawanan pertama Piala Malaysia pada 27 Oktober ini.

Kaptennya, Muslim Ahmad menyatakan skuad Tok Gajah akan memberikan tentangan sengit kepada lawan dan mencari kelebihan pada aksi timbal balik itu.

"Bermain di halaman sendiri (Stadium Darul Makmur) akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencatat kemenangan sebagai bekalan selesa.

"Kami tidak boleh memberi ruang kepada Terengganu terutama melakukan sebarang kesilapan yang boleh mengecewakan pasukan.

"Sebenarnya, dua kekalahan kepada TFC dalam saingan Liga Super tidak boleh dijadikan ukuran kerana masing-masing kini berada pada prestasi terbaik.

"Bagi saya pasukan yang berada pada prestasi terbaik dan memanfaatkan segala peluang akan melangkah lebih jauh pada kempen Piala Malaysia," katanya.

Musim ini, Sri Pahang yang dilatih Datuk Dollah Salleh tewas dua kali kepada TFC dengan jaringan sama, 1-2.

Disiarkan pada: October 20, 2022 @ 7:46pm
d