Eropah

Rishi Sunak memenangi pemilihan, bakal PM UK baru [METROTV]

Oleh BERNAMA

London: Rishi Sunak, bekas canselor perbendaharaan United Kingdom (UK), memenangi pemilihan kepimpinan Parti Konservatif yang memerintah pada Isnin.

Beliau akan menggantikan Liz Truss sebagai Perdana Menteri baharu negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Sunak adalah satu-satunya pencabar yang mendapat sokongan 100 ahli parlimen yang diperlukan sebelum jam 2 petang waktu tempatan, sekali gus menjadi pemenang secara automatik.

Seorang lagi pesaing, Penny Mordaunt, ketua Dewan Rakyat, gagal meraih undi yang mencukupi.

Bekas Perdana Menteri Boris Johnson menarik diri daripada pemilihan itu pada malam Ahad, walaupun mendakwa mendapat sokongan daripada 102 ahli parlimen.

Johnson berkata ia "bukan masa yang sesuai" untuk bertanding dalam penentuan kepimpinan kerana seseorang tidak boleh mentadbir dengan berkesan melainkan mempunyai penyatuan parti di Parlimen.

Pemilihan berkenaan tercetus apabila Truss mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis selepas lebih enam minggu memegang jawatan.

Pelan tindakan ekonominya iaitu bajet mini dipersalahkan kerana menjejaskan ekonomi dan undian Parti Konservatif.

Disiarkan pada: October 24, 2022 @ 10:19pm
d