mutakhir

Empat rumah, sebuah motosikal musnah dalam kebakaran

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Empat buah rumah teres setingkat dan sebuah motosikal dilaporkan musnah dalam kebakaran di Taman Seri Abadi, Jalan Kuala Kedah, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.01 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Jasbir Singh tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Setibanya di lokasi, Komander Operasi melaporkan, kebakaran membabitkan dua buah rumah dan sedang merebak ke dua buah rumah berhampiran.

"Komander Operasi melaporkan pasukan bomba mengalami masalah air di lokasi yang mana kawasan di sekitar Alor Setar mengalami masalah tekanan air rendah," katanya ketika dihubungi.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota bomba di lokasi kebakaran bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di lokasi.

Beliau berkata, api berjaya dipadamkan pada jam 11.24 malam dan siasatan awal mendapati, dua buah rumah musnah 80 peratus manakala dua buah rumah lagi musnah lebih 30 peratus.

"Sebuah motosikal jenis musnah 95 peratus. Tiada mangsa dilaporkan berada dalam rumah berkenaan dan setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2022 @ 12:09am
d