mutakhir

Peniaga cemas, sebahagian kedai runcit ranap [METROTV]

Oleh Recqueal Raimi

Tuaran: Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila sebahagian struktur kedai runcit miliknya ranap akibat tanah runtuh di Kampung Lubok, Kiulu di sini petang tadi.

Runtuhan kira-kira jam 4.30 petang di lereng bukit sepanjang 50 meter itu mengakibatkan ruang dapur dan tandas terjejas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 4.59 petang.

Katanya, seramai empat anggota bergegas ke lokasi sejauh 30 kilometer bersama satu kenderaan utiliti pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati berlaku runtuhan bukit sepanjang 50 meter dan menyebabkan sebahagian kedai runcit terjejas."

"Bagaimanapun, tiada penghuni dilaporkan cedera memandangkan kejadian disedari awal dan mereka sempat menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan peniaga terbabit agar mengosongkan kedai dan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

"Operasi ditamatkan pada jam 6.25 petang selepas memastikan tiada bahaya lain," ujarnya.

Tinjauan mendapati, kejadian berlaku selepas hujan berhenti dan kesan runtuhan turut mengakibatkan beberapa tanaman buah-buahan di bawah bukit terjejas manakala salah satu laluan ke rumah penduduk lain terpaksa ditutup.

Disiarkan pada: November 7, 2022 @ 8:41pm
d