mutakhir

PRU-15: Warga Kem Lok Kawi laksana proses pengundian awal pagi tadi [METROTV]

Oleh Yun Mikail

Putatan: Proses mengundi awal membabitkan anggota tentera darat di Kem Lok Kawi dekat sini, bermula sekitar jam 8 pagi tadi.

Tinjauan di pusat mengundi awal Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi mendapati, warga tentera darat serta pasangan mula beratur di tempat mengundi seawal jam 7 pagi.

Panglima 5 Divisyen Datuk Abdul Rahman A Wahad adalah individu pertama melaksanakan tanggungjawab mengundi tepat jam 8 pagi.

Turut membuang undi isteri Panglima Lima Divisyen, Datin Zarina Alif.

Lima saluran mengundi dibuka dan dijangka, pengundian akan berlangsung sehingga jam 5 petang.

Secara keseluruhan, terdapat lapan pusat mengundi awal bagi tentera darat di seluruh Sabah dan satu bagi Wilayah Persekutuan Labuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Terdahulu, kerusi parlimen Putatan menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahelmey Yahya, calon Pakatan Harapan-Parti Keadilan Rakyat (PH-PKR) Awang Husaini Sahari, Ahmad Mohd Said daripada Warisan dan calon Pejuang Poyne B Tudus @ Patrick Payne.

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 11:03am
d