mutakhir

PRU-15: Kedah isytihar cuti umum 18 dan 19 November

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan negeri bersetuju mengisytiharkan tarikh 18 dan 19 November ini sebagai cuti umum bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali berkata, keputusan itu dibuat selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

"Cuti umum yang jatuh pada Jumaat akan digantikan pada hari bekerja berikutnya iaitu Ahad, 20 November depan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU-15.

Beliau berkata, pengumuman hari kelepasan am dua hari itu dibuat berikutan kemungkinan ada syarikat swasta beroperasi pada Sabtu.

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 6:05pm
d