utama

Spa penjara RM5! [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Di sebalik tembok Penjara Pengkalan Chepa, ada perkhidmatan spa dan salun kecantikan yang dibuka kepada orang ramai dengan bayaran serendah RM5.

Menariknya, perkhidmatan spa yang sama seperti ditawarkan di mana-mana pusat kecantikan seumpamanya di luar itu, dikendalikan oleh tiga tahanan wanita yang menjalani hukuman singkat dan tidak berisiko.

Pengarah Penjara Kelantan Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, sejak diwujudkan hampir setahun, spa dan salun kecantikan Penjara Pengkalan Chepa yang hanya dikhaskan untuk wanita sahaja itu menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang datang sama ada menerusi tempahan awal atau secara terus.

"Kita menggunakan khidmat banduan terlatih iaitu tahanan yang memiliki sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) tahap dua dan mereka menerima latihan selama enam bulan.

"Seramai 30 tahanan wanita yang mengikuti kursus spa dan salun kecantikan, manakala untuk bekerja di premis ini, hanya tiga tahanan sahaja dengan diberikan elaun bersesuaian

"Pemilihan untuk mengikuti kursus ini juga dibuat berdasarkan tempoh hukuman tahanan iaitu berbaki sekurang-kurangnya setahun lagi," katanya ditemui di sini.

Mat berkata, dengan harga dikenakan antara RM5 hingga RM150, pelbagai perkhidmatan disediakan di spa dan salun kecantikan itu. Ia membabitkan menggunting rambut, rawatan, warna, inai, bentuk bulu kening, urutan badan, refleksologi, mandi susu, sauna herba dan bertungku selepas bersalin.

Menurutnya, premis itu dibuka setiap hari bekerja bermula jam 9 pagi hingga jam 3 petang.

"Orang ramai digalakkan untuk membuat tempahan terlebih dahulu kerana sambutan yang diterima setakat ini memang tidak menang tangan.

"Hebahan mengenai perkhidmatan ini banyak dibuat menerusi media sosial dan pamplet. malah seperti kebanyakan produk yang kami hasilkan, sambutannya banyak diterima daripada jabatan kerajaan.

"Persediaan kursus dan latihan pekerjaan seperti ini diharap dapat dimanfaatkan oleh tahanan untuk menjalani kehidupan mereka selepas dibebaskan nanti.

"Penjara di Kelantan turut menyediakan pelbagai lagi produk yang dihasilkan tahanan seperti pastri, makanan sejuk beku, songket, batik dan ukiran yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai," katanya.

Bagi Zalina (bukan nama sebenar), 36, sebagai banduan berulang, dia baru pertama kali menjalani kursus seperti itu dan melihat ada potensi untuk dijadikan sumber pendapatannya sebaik dibebaskan pada November tahun hadapan.

Zalina yang ditahan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan menjalani hukuman penjara lima tahun berkata, dia berazam untuk memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya untuk menjalani hidup baharu bersama keluarga.

"Sepanjang sembilan kali dimasukkan ke penjara sebelum ini, saya tidak mempelajari apa-apa kemahiran dan kali ini, apabila ditahan untuk tempoh yang agak lama, saya berpeluang mengikuti kursus ini yang saya lihat sangat menarik dan mampu untuk memberi perubahan dalam hidup saya nanti," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2022 @ 12:00pm
d