mutakhir

Cuba seludup bahan buangan dari Amerika Syarikat dan Sepanyol

Oleh Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Cuba seludup masuk bahan buangan e-sisa berasal dari Amerika Syarikat dan Sepanyol menggunakan kontena di Pelabuhan Barat, di sini.

Cubaan itu bagaimanapun berjaya digagalkan sepasukan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertindak menahan tiga kontena mengandungi e-sisa berkenaan kelmarin.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, pasukan penguat kuasa membuat pemeriksaan sebelum mendapati kontena itu mengandungi bahan buangan diimport daripada Amerika Syarikat dan Sepanyol.

"Buangan berkenaan membabitkan perkakasan komputer terpakai beserta wayar yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik (SW110) atau e-sisa.

"Pemeriksaan turut mendapati pengimport mengikrar bahan dagangan itu sebagai sisa aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Notis Arahan dikeluarkan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel," katanya tadi.

Nor Aziah berkata, JAS Selangor sudah mengeluarkan 18 Notis Arahan kepada pengimport membabitkan secara keseluruhan 30 kontena dipulangkan ke negara asal sejak Januari tahun ini.

"JAS Selangor terus komited untuk membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri Selangor dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing," katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2022 @ 3:52pm
d