Amerika Utara

Apa yang paling dicari di Google pada 2022?

Oleh Agensi

New York: Pelakon terkenal, Johnny Depp mendahului senarai individu paling popular untuk carian di Google, pada tahun ini.

Syarikat itu mengeluarkan laporan "Tema dan Tinjauan Carian 2022" pada Rabu, dengan data yang dikatakan mencerminkan topik arah aliran 2022.

Ini bermakna carian menerima peningkatan trafik yang ketara dalam tempoh masa berterusan tahun ini, berbanding tahun lalu.

Sementara itu, bekas isteri Depp, Amber Heard berada di tempat ketiga dalam senarai teratas di carian Google tahun ini.

Keputusan perbicaraan Depp-Heard pula menduduki tempat kesembilan dalam carian berita popular di Google.

Berita lain yang mendapat tempat dalam carian Google 2022 adalah insiden ketika Will Smith menampar Chris Rock selepas pelawak itu bergurau tentang isteri pelakon itu, Jada Pinkett Smith di Anugerah Oscar

Menurut rekod, berita itu menduduki tempat kelapan dalam carian berita paling popular.

Smith dan Rock pula berada di tempat kedua dan ketujuh dalam kategori individu yang paling popular.

Jada Pinkett Smith juga dipaparkan dalam kategori pelakon yang sohor kini (trending).

Dalam pada itu, pelayar di Amerika Syarikat (AS) juga menyatakan minat terhadap konflik Rusia-Ukraine, khususnya mencari cara untuk membantu individu di Ukraine.

Tiga daripada carian popular termasuk 'Bagaimana untuk membantu Ukraine?', 'Bagaimana untuk membantu pelarian Ukraine?' dan 'Bagaimana untuk membantu tentera Ukraine?'.

Ukraine juga menduduki tempat keenam dalam kategori carian umum dan ketiga dalam kategori berita paling popular.

Dalam pada itu, ramai juga yang ingin tahu trend internet khusus tahun ini. Menurut Google, pelayar melakukan pencarian goblin mode yang diisytiharkan Oxford Dictionaries sebagai perkataan tahun ini.

Selain itu, pelayar juga mencari apa itu 'web3' dan soalan 'who is..' (siapa dia) paling banyak adalah untuk Andrew Tate.

Disiarkan pada: December 11, 2022 @ 11:36am
d