mutakhir

Pahang hantar bantuan banjir ke Terengganu [METROTV]

Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Pahang melancarkan misi pertama bantuan banjir kepada mangsa di luar negeri itu, hari ini

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, misi pertama itu membabitkan bantuan ke Terengganu.

Katanya, peruntukan RM150,000 sudah diluluskan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi tujuan berkenaan.

"Antara bantuan yang dihantar termasuk barang keperluan seperti toto (tilam), selimut, tikar, kain batik, kain pelikat, kit bencana, lampin bayi dan dewasa, serta barangan kebersihan diri berjumlah keseluruhan sebanyak 3,400 unit.

"Selain itu kita turut menghantar tujuh pallet air botol minuman kepada mangsa banjir berkenaan," katanya selepas pelancaran misi itu di pekarangan depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, di sini.

Mengulas lanjut, Sabariah berkata, semua barangan itu akan dihantar ke Kemaman dan kerajaan negeri Terengganu akan menguruskan pengagihannya kepada penduduk yang terjejas.

Katanya juga, misi bantuan itu akan diperluas atau ditambah mengikut keadaan semasa.

Disiarkan pada: December 21, 2022 @ 5:52pm
d