mutakhir

Kantoi tangkap ikan di kawasan larangan

Oleh Hamzah Osman / 31DEC22

Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima nelayan warga Thailand kerana menangkap ikan di kawasan larangan di perairan Tanjung Belua di sini, 10 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, ketika ditahan lima lelaki berusia antara 24 hingga 53 tahun terbabit menaiki bot pukat tunda tempatan.

"Terdahulu, bot pukat tunda terbabit dikesan berada dalam keadaan mencurigakan 11 batu nautika di barat daya Tanjung Belua.

"Ketika ditahan tekong dan empat awak-awak itu didapati sedang leka melakukan aktiviti menunda di kawasan yang tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata, bot serta hasil tangkapan ikan seberat tiga tan turut dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2022 @ 1:21pm
d