mutakhir

Kakitangan mahkamah antara ditahan bantu siasatan kes rasuah

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Dua individu termasuk seorang kakitangan Mahkamah Syariah di sini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah.

Menurut sumber kedua-dua suspek wanita masing-masing berumur 38 dan 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Tawau di sini, ketika hadir memberi keterangan pada jam 5.30 petang, tadi.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kedua-dua suspek kini ditahan selama tempoh 24 jam untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM400 daripada orang awam bagi memproses perintah mahkamah.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2023 @ 10:29pm
d