Sukan Lain

Akaun Bolt kena godam, RM54.86 juta lesap

Oleh Reuters

Kingston: Legenda Olimpik Usain Bolt berusaha mendapatkan semula wang berjumlah AS$12.7 juta (RM54.86 juta) yang hilang daripada akaunnya dengan firma pelaburan Jamaica dan sedia membawa kes terbabit ke mahkamah, menurut peguam Bolt.

Minggu lalu Bolt diberitahu baki akaunnya di firma Stocks dan Securities Ltd (SSL) hanya tinggal AS$12,000 (RM51,840), kata Linton Gordon kepada Reuters semalam.

"Kami akan membawa perkara ini ke mahkamah jika firma itu enggan mengembalikan semula wang terbabit," kata Gordon.

"Kejadian ini sangat mengecewakan dan kami berharap ia dapat diselesaikan iaitu Bolt dapat semula wangnya dan beliau tidak lagi susah hati."

SSL dalam kenyataannya 12 Januari lalu berkata mereka menyedari aktiviti penipuan oleh bekas pekerja syarikat itu dan merujuk perkara terbabit kepada pihak berkuasa selain meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan wang penyimpan selamat selain memperketatkan protokol.

Bagaimanapun, SSL gagal dihubungi menerusi emel atau telefon bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Bolt membuka akaunnya di firma terbabit sebagai wang pencen dan simpanan masa depan selain untuk ibu bapanya, menurut Gordon.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 11:49am
d