mutakhir

Anak ikan paus terdampar di pantai diselamatkan

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Seekor anak ikan paus terdampar di pantai di Kuala Baram, Miri, dipercayai terpisah dari kumpulannya, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12 tengah hari.

Menurutnya, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong diarah ke lokasi di Kampung Nelayan, Batu 4, Kuala Baram, bagi melaksanakan operasi khidmat khas sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati seekor anak ikan paus dengan anggaran empat meter panjang terdampar di tepi pantai.

"Operasi menyelamat dijalankan oleh pasukan bomba yang turut dibantu orang awam dengan menolak anak paus itu ke kawasan yang lebih dalam bagi memudahkannya untuk berenang ke laut,"katanya.

Menurutnya usaha itu berjaya dan mamalia marin itu kembali semula ke tengah laut.

Kejadian paus terdampar di pantai pernah berlaku di Miri khususnya di pantai Kuala Baram sejak tahun 1980-an.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 3:49pm
d