Bola Sepak

TFC dapat tajaan RM250,000

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Naib juara Piala FA musim lalu, Terengganu FC (TFC) mendapat suntikan kewangan tambahan daripada syarikat Sasoakai Resources Sdn Bhd dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Syarikat kejuruteraan yang ditubuhkan di Terengganu itu menyalurkan sumbangan berbentuk kewangan berjumlah RM250,000 dengan penajaan selama semusim sebagai tanda pengenalan kepada skuad Penyu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, suntikan penajaan itu memberi nafas baharu kepada TFC yang memerlukan tambahan dana pada musim ini bagi mengharungi saingan Liga M dan juga Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

"Kehadiran syarikat yang berpengalaman luas dalam industri pembinaan, kejuruteraan awam, perlombongan dan pelaburan ekuiti persendirian itu dilihat sebagai sokongan kepada kelab yang memerlukan perbelanjaan tambahan untuk bersaing di pentas Asia.

"Dengan penajaan itu, kita meletakkan impian yang tinggi TFC mampu melangkah lebih jauh lagi pada musim ini sekali gus memperbaiki pencapaian musim lalu," katanya pada majlis menandatangani kontrak penajaan itu di pejabat TFC Sdn Bhd, hari ini.

Majlis Memeterai Perjanjian itu ditandatangani Ab Rasid dan Pengarah Eksekutif Sasoakai Resources, Herman Syah Abdul Rahim dengan disaksikan Pengarah Urusan, Syed Ahmad Anas Engku Kelana Diraja dan Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas.

Dalam perkembangan lain, semua pemain yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat aku janji di depan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi gejala rasuah.

Program yang berlangsung di Auditorium Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, semalam yang dihadiri Timbalan Pengarah SPRM negeri, Sofian Haroon, Pengerusi Jawatankuasa Integriti PBNST, Dr Apli Yusof dan Ab Rasid bertujuan bagi meningkatkan lagi kesedaran berkaitan jenayah rasuah dalam kalangan pengawai dan pemain bola sepak negeri.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 6:45pm
d