Badminton

Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan aksi konsisten di Masters Indonesia apabila berjaya mara ke pusingan separuh akhir, esok.

Pada aksi suku akhir di Stadium Istora Senayan hari ini, pasangan negara itu mempamer aksi mantap untuk menewaskan wakil China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan 21-10, 21-12.

Beregu negara yang menduduki ranking keenam dunia itu tidak berdepan masalah besar apabila hanya memerlukan masa 36 minit untuk menewaskan lawan mereka yang menduduki ranking ke-93 dunia itu.

Meskipun menang mudah di set pertama, namun Pearly-Thinaah berdepan kesukaran pada set kedua apabila lawan mereka tampil dengan aksi lebih kemas dan mengekori rapat kedudukan mata.

Keputusan itu menyaksikan juara Terbuka Perancis tahun lalu itu mengekalkan rentak konsisten apabila melangkah ke separuh akhir dua kali berturut-turut selepas melakukannya pada Terbuka India minggu lalu.

Ia pastinya memberi perkembangan positif kepada Pearly-Thinaah selepas terkandas seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia kira-kira tiga minggu lalu.

Menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir esok adalah pemenang perlawanan antara beregu Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dan wakil India, Tanisha Crasto-Ashwini Ponnappa.

Disiarkan pada: January 27, 2023 @ 5:50pm
d