vroom

SUV kelas mewah

Oleh Lizam Ridzuan

Range Rover L460 Serba Baharu yang bakal dilancarkan Februari ini bukan saja model generasi kelima jenama ini malah ia akan menjadi penanda aras untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah di pasaran Malaysia.

Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia yang juga pengedar utama jenama itu di Malaysia, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, model dengan pelbagai ciri terkini untuk segmen SUV mewah itu dilengkapi kemasan dan teknologi yang lebih terperinci.

"Menerusi gabungan inovasi yang sempurna, ia adalah model paling diingini untuk golongan sasar dan kami teruja untuk memperkenalkannya tidak lama lagi," katanya.

Model ini dilengkapi enjin 4.4 liter pengecas turbo berkembar V8 petrol. Ia menjana 530 kuasa kuda dan tork 750Nm.

Kenderaan pacuan semua roda (AWD) ini didatangkan dengan lapan kelajuan automatik serta dilengkapi roda stereng bantuan kuasa elektrik (EPAS) 'rack' dan 'pinion'.

Range Rover L460 juga hadir dengan rim aloi bersaiz 22 inci, stereng pacuan semua roda dan kemasan tempat duduk kulit aniline.

Tangki bahan apinya mampu memuatkan 90 liter bahan api.

Ia memiliki sistem suspensi SLA Double Wishbone dengan 'Virtual Swivel Axi's dan 'Split Lower Arm' untuk hadapan serta '5-link Axle' untuk bahagian belakang.

Dengan tujuh tempat duduk, ia juga dilengkapi kamera tiga dimensi (3D), paparan meter pemandu 13.7 inci, sistem multimedia 'terapung' dengan skrin sesentuh dan sistem audio Meridian.

Pada masa sama, pemilik boleh memilih model binaan khas (custom) bagi model ini.

Disiarkan pada: January 29, 2023 @ 7:00am
d