Bola Sepak

Rembatan Arif Aiman buat jaring Lokomotiv Moscow terkoyak, sekali gus menang 1-0

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menghantar amaran buat pesaing dalam Liga Malaysia (Liga M) apabila mencatat kemenangan ketiga dalam aksi pramusim di Dubai apabila kali ini menumbangkan kelab Russia, Lokomotiv Moscow 1-0, malam tadi.

Ia adalah kemenangan ketiga dalam empat aksi selepas turut menumbangkan kelab UAE, Fursan Hispania 3-0 dan menang 1-0 ke atas kelab Bulgaria, FC Levski Sofia yang ditamatkan aksi lebih awal susulan isu pergaduhan di awal babak kedua.

Namun di sebalik kemenangan ketiga itu, sebenarnya perkara mencuri tumpuan adalah bagaimana gol tunggal ledakan Arif Aiman Hanapi itu dijaringkan.

Berdasarkan video jaringan itu, Arif berjaya mengatasi dua pemain pertahanan Lokomotiv Moscow sebelum dia melepaskan rembatan leret buat menewaskan penjaga gol lawan.

Apa yang mencuri perhatian apabila jaringannya menyebabkan jaring 'terkoyak' pada perlawanan itu.

Bola yang ditendang Arif masuk ke dalam gawang namun bola itu keluar daripada jaring sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana bola rembatan Arif boleh keluar.

Menerusi ulang tayang, rupanya jaring yang digunakan berlubang dan disebabkan itu percubaan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia dua tahun berturut-turut itu keluar daripada gawang.

Selepas ini, skuad kendalian Estaban Solari akan melengkapkan aksi pramusim dengan menentang juara Liga Russia, FC Zenit St Petersburg pada Isnin depan.

Disiarkan pada: February 3, 2023 @ 10:42am
d