mutakhir

Gaduh kerana ejekan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Dua kumpulan remaja bergaduh kerana ejek-mengejek antara satu sama lain dalam dua kejadian di taman perumahan awam dan kawasan tempat letak kenderaan pasar raya di Ara Damansara di sini, kelmarin.

Kejadian pada 11 malam itu menyebabkan ada di antara mereka cedera akibat pergaduhan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian merusuh itu pada 11.24 malam.

"Susulan maklumat itu, pada 1.10 pagi sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menahan tiga remaja berusia 14 hingga 16 tahun di sekitar kawasan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati dua kejadian berkenaan dipercayai berpunca dari cemuhan dan mempersendakan antara dua kumpulan terbabit,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

"Tiga remaja yang ditahan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2023 @ 1:06pm
d