ku-bela

Haiwan kesayangan stres

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEPERTI manusia, haiwan tidak terkecuali daripada mengalami masalah stres yang berpunca daripada beberapa sebab termasuk keperluan asasnya tidak dipenuhi, perubahan persekitaran, kurang perhatian dan sebagainya.

Doktor Veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali berkata, setiap spesies haiwan mempunyai penyebab stres yang berbeza.

"Stres boleh berlaku mungkin disebabkan pemilik membawa haiwan peliharaan lain, menukar makanan lain atau mengubah kedudukan sangkar.

"Kesibukan pemilik haiwan yang jarang meluangkan masa dengan haiwan turut menjadi penyumbang kepada stres yang turut memerlukan perhatian seperti manusia.

"Selain itu, stres boleh berlaku apabila haiwan peliharaan mengalami masalah kesihatan yang tidak disedari pemiliknya menyebabkan haiwan mengalami tekanan.

"Secara asasnya jika pemilik tidak menepati hak asasi haiwan tu sendiri, ia boleh menjadi punca stres," katanya ketika dihubungi.

Katanya, stres yang dialami haiwan boleh mengundang kepada masalah lain yang lebih serius termasuk dijangkiti penyakit dan kemurungan.

"Kebiasaannya, haiwan yang mengalami stres mudah dijangkiti penyakit kerana menyebabkan sistem imun badannya merudum.

"Dengan kata lain, stres yang tidak ditangani boleh menyebabkan masalah lain yang lebih serius," katanya.

Menurutnya, ada beberapa gejala yang boleh dikenal pasti terhadap haiwan yang mengalami stres.

"Antaranya, haiwan peliharaan yang stres akan berperangai pelik dan berbeza. Sebagai contoh, sekiranya sebelum ini ia sangat aktif dan responsif, namun secara tiba-tiba berubah dengan suka menyendiri, kurang selera makan atau tidak makan langsung.

"Selain itu, perubahan dari segi penampilan seperti agak kusam dan tidak terurus menjadi petanda haiwan stres kerana kebanyakan haiwan ini secara semula jadi pandai 'menyembunyikan' sakit yang dihadapi untuk mengelakkan haiwan lain mengetahui kelemahannya," katanya.

Beliau yang juga pemilik dua klinik veterinar di Shah Alam dan Kuala Lumpur itu berkata, apabila haiwan sudah mula menunjukkan gejala, keadaannya menjadi semakin serius.

"Namun, bukan semua berpunca daripada penyakit, mungkin ada perkara lain menyebabkan haiwan itu stres.

"Dalam hal ini adalah penting untuk pemilik mengetahui perubahan tingkah laku haiwan peliharaan. Sebaik melihat perubahan ini, haiwan perlu terus dibawa terus ke klinik untuk mendapatkan rawatan segera," katanya.

Tambahnya, di klinik doktor akan bertanya banyak soalan berkenaan stres dan penyakit yang dihadapi haiwan itu untuk mengenal pasti puncanya.

"Doktor perlu ketahui sama ada perubahan yang berlaku itu disebabkan stres atau terkena jangkitan yang memerlukan rawatan bersesuaian.

"Masalah stres itu boleh diatasi berdasarkan punca yang sudah dikenal pasti sama ada memberikan masa kepada haiwan peliharaan untuk membiasakan diri dengan persekitaran baharu atau luangkan lebih masa dengan haiwan," katanya.

Ditanya berkenaan tahap kesedaran masyarakat berhubung stres membabitkan haiwan peliharaan, beliau mengakui berlaku peningkatan, namun belum sampai ke tahap memuaskan.

"Kes penganiayaan terhadap haiwan peliharaan masih berlaku kerana pemilik gagal memenuhi lima prinsip kebebasan haiwan iaitu bebas daripada lapar dan dahaga, bebas daripada ketidakselesaan, bebas daripada kesakitan, kecederaan atau penyakit, bebas melakukan dan menunjukkan sifat semula jadi dan bebas daripada ketakutan dan stres.

"Sekiranya semua kebebasan ini dipenuhi pemilik haiwan peliharaan boleh dikatakan berjaya menjaga kebajikan haiwan peliharaan, sekali gus dapat mencegah stres," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 6:20am
d