vroom

Trak sporty

Oleh Lizam Ridzuan

Rekaan dan kemasan trak pikap kini semakin menarik malah lebih sesuai untuk gaya hidup selain urusan kerja dan komersial.

Terkini, Isuzu D-Max Baharu 2023 dilancarkan ke pasaran. Ia datang dengan ciri dan kemasan yang dipertingkatkan bagi varian X-Terrain dan Premium.

Bagi kemasan luaran, ia menawarkan warna baharu iaitu 'Islay Gray Mica' serta dua pilihan warna putih iaitu 'Dolomite White Pearl' dan 'Silky Pearl White'.

Ia juga menawarkan warna 'Biarritz Blue Metallic' untuk varian Automatic Premium, Auto Plus dan Automatic Standard.

Antara yang membezakannya dengan model terdahulu ialah rekaan gril, rim dan kemasan badan baharu yang lebih sporty.

Bahagian kabinnya dilengkapi tempat duduk baharu berwarna hitam.

Namun, untuk X-Terrain, ia menampilkan kemasan warna Kafe Brown pada permukaan lembut kabin.

Selain itu, model ini dilengkapi perakam video digital sebagai sebahagian daripada Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS).

Lampu suasana juga memudahkan penggunanya untuk keluar dan masuk ke dalam kenderaan dalam suasana gelap.

Untuk pemanduan, model ini masih kekal dengan pilihan enjin 3.0 liter 'Blue Power Turbo Diesel'.

Ia menjana kuasa 190PS dan tork 450Nm. Enjin 1.9 liter 'Blue Power' pula menjana kuasa 150PS dan 350Nm.

Semua varian dilengkapi ciri 4x4 dengan tambahan 'differential-lock' kawalan elektronik.

Untuk 3.0 liter varian Automatic Premium, ia dilengkapi suspensi baharu dan mampu menampung beban daripada 580 kilogram (kg) kepada 775kg.

Harga jualan Isuzu D-Max bermula daripada RM94,949.20 untuk 1.9L 4X4 MT Single Cab, RM101,888.40 (3.0L 4X4 MT Single Cab), RM104,099.20 (1.9L 4X4 MT Standard) dan RM111,499.20 untuk 1.9L 4X4 AT Standard.

Harga lain ialah RM105,499.20 untuk 1.9L 4X2 Auto Plus, RM129,149.20 (1.9L 4X4 AT Premium), RM135,638.40 (3.0L 4X4 AT Premium) dan RM150,938.40 untuk 3.0L 4X4 X-Terrain.

Disiarkan pada: February 26, 2023 @ 6:30am
d