mutakhir

KPM ucap takziah atas pemergian Saiful Asyraf

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan ucapan takziah terhadap keluarga pelatih guru yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, di Segamat, pagi semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ,menerusi status di Facebook turut mendoakan roh mangsa dicucuri rahmat Allah SWT.

"Semalam kami menerima perkhabaran dukacita di atas pemergian bakal guru Allahyarham Saiful Asyraf Mukhtar, 21 berasal dari Sabah.

"Arwah terbabit dalam kemalangan semasa melaksanakan kerja-kerja murni pasca banjir bagi pembersihan Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh di Segamat," katanya.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, mangsa yang juga bakal guru itu terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penyembur air atau sewaktu melakukan kerja pembersihan pasca banjir di sekolah itu.

Mangsa rebah dan cedera pada kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat.

Saiful Asyraf Mukhtar seorang pelatih guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: March 13, 2023 @ 2:12pm
d