mutakhir

Selalunya suami balik dengan selamat selepas operasi, tetapi kali ini... [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Isteri kepada anggota tentera yang ditemukan maut selepas dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, Gerik, Perak sempat memohon izin kepada suaminya untuk pulang menyambut Aidilfitri di Sungai Petani, Kedah, tahun ini.

Nurhayatul Husna Abdul Muttalib, 30, berkata, dia memohon izin ketika menghantar suaminya Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib ke kem pada 2 Mac lalu sebelum diberikan kebenaran berbuat demikian.

Katanya, arwah suaminya tidak dapat bercuti tahun ini dan atas sebab itu dia meminta memberi kebenaran untuk pulang ke kediaman keluarganya bersama dua anak mereka berusia dua dan empat tahun.

"Itulah pertemuan terakhir saya dan suami. Arwah membenarkan saya dan anak-anak pulang beraya di kampung saya di Sungai Petani.

"Namun, saya tidak menyangka dan amat terkejut mendapat berita kematian suami... selalunya setiap kali suami menyertai operasi, dia akan balik dalam keadaan selamat.

"Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Ilahi walaupun pemergian ini amat perit untuk ditelan," katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Pulau Mertajam, di sini, hari ini.

Katanya, kali terakhir dia beraya bersama arwah suaminya pada tahun lalu, dan kini semuanya tinggal kenangan.

"Saya akan sentiasa mengingati sikapnya yang menyenangkan keluarga. Dia seorang suami yang penyayang dan sabar dalam melayani anak-anak," katanya.

Sementara itu, ibu kepada mangsa, Fadzilah Bakar, 56, berkata, Mohammad Nasri yang berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RMAD) sejak 12 tahun lalu adalah anak tunggalnya.

Katanya, arwah sempat menghubunginya semasa operasi sebelum dilaporkan hilang beberapa jam kemudian.

"Semasa panggilan itu dia (arwah) hanya berbual biasa sahaja dan tidak sangka itu perbualan terakhir saya dengannya.

"Arwah ini mengikuti jejak langkah ayahnya yang juga seorang anggota tentera," katanya yang sudah kematian suami sejak 28 tahun lalu.

Jumaat lalu, Mohammad Nasri dilaporkan hilang di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Perak ketika menjalankan operasi.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan anggota tentera berusia 33 tahun itu dari Batalion ke-25 RAMD Kem Sri Bentong, Pahang.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian kehilangan berlaku pada 5 petang semasa mangsa bersama lima anggota lain menjalankan operasi di kawasan penugasan.

Allahyarham Mohammad Nasri dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Mertajam selepas proses bedah siasat selesai.

Disiarkan pada: April 12, 2023 @ 5:59pm
d