rap

Belai jiwa dalam lagu

Oleh Nur Ilyanie Hanisha Hisham

Kejayaan mencipta nama menerusi penampilan di akaun Tiktok mendorong Adrianna Cinta mengorak langkah bergelar penyanyi.

Adrianna Cinta atau nama sebenar Puteri Adrianna Cinta Megat Faizal, 20, sebelum ini gemar menyanyikan lagu-lagu cover di akaun Tiktok miliknya.

Beliau mendapat perhatian luar biasa apabila berjaya meraih lebih 3.7 juta tontonan untuk lagu Cinta Ini Membunuhku dan 3.5 juta tontonan bagi Munajat Cinta.

Kini Adrianna muncul dengan single terbarunya berjudul Sayang karya ciptaannya sendiri dan diterbitkan di bawah naungan syarikat Sony Music Malaysia.

Adrianna memberitahu lagu Sayang dihasilkan sepenuhnya berdasarkan imaginasinya berdasarkan bayangan mengenai situasi dan terus menjadikannya sebuah lagu.

"Saya hanya cipta lagu dengan mencurahkan apa yang bermain di minda, kemudian tidak lama selepas itu, siaplah bahagian permulaannya. Saya hanya ambil masa tiga ke empat jam sahaja untuk keseluruhan lirik.

"Lagu ciptaan saya hanya mengambil masa sehari sahaja untuk siap, namun jika termasuk proses 'mixing', lagu ini lengkap sepenuhnya dalam masa dua hari," katanya.

Adrianna yang mula membabitkan diri dalam nyanyian sejak kanak-kanak, mula serius dalam nyanyi selepas tamat persekolahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berdasarkan akaun Tiktok milik Adrianna, lagu cover sebelum ini berunsurkan galau tetapi lagu Sayang hadir dengan keistimewaan tersendiri.

"Istimewanya lagu Sayang, adalah kombinasi antara genre pop dan indie yang menjadi lagu cinta dan muziknya menyuntik mod seumpama membelai perasaan pendengar.

"Saya berharap kelainan yang saya bawa ini dapat menyentuh perasaan orang ramai serta memberi kesan yang mendalam kepada mereka dan terus jatuh cinta dengan 'Sayang'," kata Adrianna penuntut dalam bidang jurusan pengurusan perniagaan di sebuah universiti tempatan.

Tambahnya, dia merancang mengeluarkan satu single yang berunsurkan galau berurutan dengan cara dia mula dikenali oleh khalayak ramai.

"Saya berharap lagu-lagu yang saya hasilkan dapat terus diterima semua peringkat usia selain dapat disiarkan di stesen radio tempatan untuk lebih melonjakkan semangat pencipta lagu dan karyawan seni seperti saya," katanya.

Lagu Sayang boleh dimuat turun di aplikasi iTunes selain semua penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Disiarkan pada: May 3, 2023 @ 6:30am
d