Sukan Lain

Skuad renang lelaki pecah rekod kebangsaan

Oleh Zulfaizan Mansor

Phnom Penh: Skuad renang lelaki negara memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x100 meter (m) gaya bebas di Sukan Sea Kemboja 2023, hari ini.

Kuartet negara dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun, Lim Yin Chuen dan Terrence Ng mencatat masa 3:20.61 saat (s), sekali gus memadam rekod lama 3:21.06s yang dilakar Keith Lim , Welson Sim, Chan Jie dan Foong Wei Tze ketika Sukan Asia 2018.

Persembahan baik dipamerkan di Pusat Akuatik Morodok Techo, di sini, menyaksikan mereka menyumbang pingat perak kepada kontinjen negara.

Pingat emas pula dimenangi kuartet Singapura yang melakukan catatan 3:17.35s manakala gangsa milik Vietnam dengan catatan masa 3:21.09s.

Hoe Yean yang memenangi pingat emas sulung skuad negara apabila mengungguli acara 200m gaya bebas, semalam turut meraih gangsa dalam acara 200m kuak lentang, hari ini.

Disiarkan pada: May 10, 2023 @ 9:56pm
d