rap

Gandingan memukau

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

DAHAGA dan kerinduan peminat terhadap persembahan kumpulan muzik tanah air sememangnya ketara apabila mereka memberikan sambutan hebat terhadap Konsert Jiwa Kacau yang berlangsung Sabtu lalu.

Hasilnya terbukti apabila Stadium Malawati Shah Alam digegarkan lebih 7,000 ribu peminat yang hadir bagi memberikan sokongan padu terhadap Insomniacks, Kugiran Masdo, Bunkface dan Hujan.

Langkah penganjur menggandingkan empat kumpulan indie nama besar yang berbeza genre ini ternyata menjadi.

Insomniacks yang dikategorikan sebagai kumpulan paling termuda membuka tirai konsert dengan enam lagu mereka iaitu Langgar, Igauan Malam, Here Again, Reminisensi, Sempurna dan Pulang.

Seawal persembahan lagi suasana sudah panas dengan persembahan Insomniacks di mana peminat sama ada di bahagian bawah pentas serta di tempat duduk, turut sama menyanyikannya.

Selepas persembahan mereka, peminat dihidangkan pula dengan Kugiran Masdo yang terkenal dengan muzik genre pop 60-an.

Jeritan peminat mula bergema sebaik Kugiran Masdo mengambil tempat di atas pentas.

Mereka menyampaikan lapan lagu iaitu Janji Manis, Miss Flower, Teruna Dara, Inilah Jalan-Nya, Dinda, Bunga, MPRNR dan Bercanda Di Malam Indah.

Tampil sebagai artis ketiga menjayakan persembahan Bunkface menghangatkan lagi keadaan yang sememangnya panas.

Bunkface dengan genre 'punk rock' menyampaikan lapan lagu iaitu Bunk Anthem, Malam Ini Kita Punya, Ekstravaganza, Rentak Laguku, Darah Muda, Panik, Situasi dan Revolusi.

Tahap persembahan Bunkface amat terbaik apabila semua peminat termasuk di bahagian tempat duduk turut sama menari apabila mereka menyampaikan lagu-lagu ini.

Vokalisnya Sam bijak berkomunikasi dan melayan peminat yang hadir. Malah dia turut menjemput seorang penonton untuk menyanyi bersamanya di atas pentas.

Menghampiri jam 11.30 malam, Stadium Malawati semakin gamat dengan kemunculan kumpulan Hujan yang juga kumpulan terakhir untuk konsert ini.

Vokalisnya Noh yang menjadi tarikan utama menyanyikan sembilan lagu iaitu Obsesi, Mencari Konklusi, Dugaannya, Perindu Kalbu, Jiwa Kelajuan, Ahmoi Chantek, Lonely Soldier Boy, Empayarmu dan Aku Skandal.

Kesimpulannya, kesemua kumpulan ini membuktikan bahawa bakat, kualiti dan mutu persembahan mereka bukan calang-calang dan mampu bersaing dengan kumpulan dari luar negara.

Disiarkan pada: June 22, 2023 @ 6:49am
d