mutakhir

PRN: Klang Selatan guna dron pantau keselamatan

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Polis Klang Selatan mengambil pendekatan baharu dengan menggunakan dron dalam membantu mengawal keselamatan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di kawasan pentadbirannya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pemasangan alat pemantau berteknologi itu akan dilaksana dalam masa terdekat.

"Dron ini akan menggunakan 'software' untuk terbang sendiri, terutama semasa pencalonan sehingga penjumlahan undi.

"Mungkin satu atau dua (secara giliran), dron ini akan berada di sekitar kawasan pentadbiran IPD Klang Selatan selain bantu dari segi pemantauan pencegahan jenayah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kotak Pelupusan Ubat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.

Mengenai keanggotaan ketika PRN, beliau berkata, ia menggunapakai pendekatan sama seperti Pilihan Raya Umum lalu dan anggota diletakkan di semua 80 tempat mengundi dengan 548 saluran.

Katanya, kekurangan tenaga anggota akan ditampung daripada bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan daerah berdekatan.

Mengenai program pelupusan ubat, Cha berkata, inisiatif bersama syarikat swasta itu bermanfaat buat warganya bagi melupuskan ubat tamat tempoh.

Disiarkan pada: June 28, 2023 @ 2:46pm
d