Sukan Lain

LTdL terjejas angkara hutang

Oleh Aida Adilah Mat

Putrajaya: Reputasi buruk dan bebanan hutang yang dipercayai melebihi RM2 juta mungkin boleh merencatkan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari 23 hingga 30 September ini sekiranya ia tidak diselesaikan secepat mungkin.

Penganjuran LTdL juga mungkin akan kehilangan status ProSeries serta pembabitan tiga pasukan Dunia (UCI WorldTeam) pada edisi kali ini sekiranya masalah itu tidak diselesaikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipertanggungjawabkan menjadi penganjur perlumbaan LTdL kali ni.

Malah lebih parah berkemungkinan besar LTdL mungkin akan digugurkan dari kalendar UCI tahun depan.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Presiden Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab yang memaklumkan lima pasukan pada edisi tahun lalu membuat laporan kepada Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) kerana tidak dibayar yuran penampilan seperti yang dijanjikan.

Abu Samah ketika ditemui pada Majlis Pelancaran LTdL 2023 di Menara KBS mendakwa penganjur sebelum ini iaitu Human Voyage (HV) masih berhutang dengan pasukan melebihi RM1 juta membabitkan yuran penampilan.

"Kalau nak ikutkan perlumbaan tahun lalu berjalan dengan baik. Tapi masalah timbul adalah dari segi hubungan antara pasukan dan penganjuran edisi lalu yang menimbulkan masalah dan hingga kini masih belum diselesaikan.

"Isu paling besar adalah yang mana saya rasa jika kita tak dapat atasi masalah hutang itu tahun ini berkemungkinan besar UCI tidak lagi akan mendaftarkan LTdL dalam kalendar.

"Sebabnya pasukan akan tanya apa jaminan yang untuk mereka kali ini supaya perkara lalu tak berulang, jadi kita doakan perkara ini dapat diatasi," katanya.

Bagaimanapun, wang hadiah kemenangan bernilai RM850,000 sudah diselesaikan kepada semua pemenang.

Untuk rekod, HV diberikan kontrak selama tiga tahun untuk menganjurkan perlumbaan LTdL antara 2019 hingga 2021 dan ia dilanjutkan sehingga tahun lalu selepas penganjuran edisi 2021 terpaksa ditunda susulan pandemik Covid-19.

Selain diberi kepercayaan menganjurkan LTdL dengan kontrak tiga tahun itu, HV antara syarikat pengurusan acara yang terkenal di negara ini, menjadi hos LTdL buat kali pertama pada edisi ke-20 pada 2015.

Abu Samah turut memaklumkan mereka cuba untuk berhubung dengan HV menerusi panggilan telefon yang tidak diangkat selain tiada individu berada di pejabat.

Cuma kini adalah satu jalan penyelesaian yang mana HV dimaklumkan bahawa masih belum menuntut baki wang bernilai RM1.1 juta dan wang bon RM400,000 dari KBS dan Abu Samah meminta perkara itu jangan dilepaskan kepada mereka supaya ia dapat dibayar kepada pasukan yang buat tuntutan.

Disiarkan pada: July 4, 2023 @ 4:34pm
d