mutakhir

HPUniSZA beroperasi penuh tahun depan

Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) akan beroperasi sepenuhnya tahun depan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, hospital itu sudah memulakan pengoperasian awal membabitkan klinik pakar dan perkhidmatan sokongan, Selasa lalu.

Katanya ia membabitkan Klinik Perubatan Dalaman, Klinik Ortopedik, Klinik Oftalmologi, Klinik Otorinolaringologi (ORL), Klinik Pediatrik, Klinik Obstetrik & Ginekologi, Klinik Pembedahan dan Klinik Psikiatri untuk pesakit luar.

"Hospital menerima 100 pesakit daripada komuniti sekitar dan dijangkakan tahun depan dapat beroperasi sepenuhnya.

"Kita berharap dengan operasinya hospital ini, sedikit sebanyak mampu membantu menangani cabaran di hospital yang ada dan kita bersedia bekerjasama," katanya.

Beliau ditemui selepas perasmian perkhidmatan klinik pakar pesakit luar HPUniSZA hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA Tan Sri Che Khalib Mohamad Nod, Naib Canselor Prof Datuk Dr Fadzli Adam dan Pengarah HPUniSZA Prof Dr Ahmad Zubaidi A Latif.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, perkhidmatan kardiologi (pediatrik) dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) juga dibuka di hospital itu melalui kes rujukan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Katanya, setakat ini tujuh kes sudah dikendalikan dan kolabrasi terbabit memanfaatkan pesakit di sekitar Terengganu dan Kelantan.

Disiarkan pada: August 6, 2023 @ 5:58pm
d