mutakhir

PRN: Ismail Sabri yakin BN menang di Besut

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin sokongan pengundi di Pulau Perhentian juga akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Katanya, suasana kempen di pulau berkenaan amat meriah dan beliau yakin pengundi akan memberi kemenangan kepada BN pada 12 Ogos nanti.

Beliau dalam siri lawatan kerja ke daerah Besut selama tiga hari bermula semalam dan akan berakhir esok.

"Saya meneruskan kempen bagi PRN Terengganu sejak semalam di Pulau Perhentian salah satu kawasan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

"Rombongan kami disambut oleh pemuda-pemuda dengan bot yang mengiringi hingga ke jeti Pulau Perhentian.

"Hari ini berjumpa masyarakat sekitar kawasan DUN Kuala Besut dan esok di DUN Kota Putera serta DUN Jertih," katanya.

Beliau ditemui ketika meluangkan masa mengunjungi gerai jualan cenderamata di Jeti Kuala Besut ketika lawatan kerja ke daerah Besut, di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh serta calon BN DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Disiarkan pada: August 10, 2023 @ 4:34pm
d