mutakhir

Agong kurnia gelaran 'Datuk' kepada Ajay Soni

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP), yang membawa gelaran Datuk kepada Pengarah Syarikat Pelaburan Harta Komersial Datuk Ajay Soni.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri serta Persekutuan itu diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Belgrave Square, London, United Kingdom (UK), pada Khamis.

Darjah DSAP adalah darjah kebesaran negeri Pahang dan dikurniakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berangkat ke istiadat itu.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Zakri Jaafar dan isteri Datin Nor Aini Abdul Rahman.

Pada istiadat yang berlangsung 10 pagi waktu tempatan, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) kepada dua penerima iaitu wartawan The New Straits Times Zaharah Othman dan koresponden TV3 di UK Haliza Hashim.

Bintang AMN dikurniakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kini berada di London bagi lawatan khas hingga 15 Ogos.

Disiarkan pada: August 10, 2023 @ 11:40pm
d