SNORKELING antara aktiviti paling menarik perhatian ramai di Pulau Perhentian.
PENGUNJUNG beriadah dengan bermain bola tampar pada waktu petang di pesisir pantai Pulau Perhentian.
ANTARA jenis bilik yang terdapat di Ombak Dive Resort.
CEF Azizul Hakim Mohamed Mokhtar menunjukkan antara menu istimewa yang disediakan di Ombak Dive Resort.
Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


Tersenarai antara 100 pulau terindah di dunia, Pulau Perhentian dikenali ramai sebagai syurga buat penggemar aktiviti berasaskan air.

Namun gugusan pulau yang terletak kira-kira 10 batu nautika (19 kilometer) dari pantai dalam timur laut Terengganu itu sebenarnya menyediakan pelbagai aktiviti menarik buat pencinta alam semula jadi.

Bukan sekadar keindahan pantainya memutih dan hidupan marin yang menarik perhatian ramai, malah pengunjung juga dapat meneroka banyak lagi khazanah alam serta melakukan pelbagai aktiviti di dua pulau utama iaitu Perhentian Besar dan Perhentian Kecil.

Sebaik menjejak kaki ke pesisir pantai, pengunjung pasti teruja dengan kejernihan air yang menampakkan pelbagai spesies ikan menarik.

Bagaikan aktiviti wajib di pulau peranginan itu, pengunjung pastinya akan dibawa melakukan aktiviti snorkeling di beberapa lokasi menarik untuk melihat pelbagai hidupan akuatik termasuk terumbu karang yang pelbagai saiz.

Jika cuaca baik dan keadaan mengizinkan, pengunjung pasti lebih teruja apabila dapat menyaksikan sendiri penyu bergerak di dasar laut sebelum naik ke permukaan air untuk bernafas setiap 10 hingga 15 minit.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga akan dibawa ke lokasi ikan yu dan melihat spesies itu berlegar mencari makanan dengan gerakan tersendiri.

Selepas puas bermain air, pengunjung boleh meneruskan keterujaan dengan pelbagai aktiviti rekreasi lain seperti bersukan di tepi pantai atau meredah hutan ke lokasi kincir angin.

Kincir angin yang dapat dilihat dari jauh itu adalah stesen jana kuasa hibrid pertama di Asia yang menjana bekalan elektrik bagi penduduk Pulau Perhentian.

Hanya mereka yang berjiwa kental dan mempunyai stamina tinggi mampu mendaki hingga ke puncak yang pastinya tersenyum riang apabila dapat menyaksikan panorama indah Laut China Selatan dari atas bukit.

Pulau Perhentian menyediakan pelbagai jenis penginapan daripada bajet rendah seperti berkhemah hinggalah kepada hotel premium berharga ratusan ringgit semalaman.

Ombak Dive Resort yang dibangunkan pasangan Datuk Zulkifli Mohd Sharif, 55, dan Datin Nur Salinda Sabar, 39, antara resort yang sering menjadi pilihan pengunjung kerana menawarkan pelbagai kategori penginapan daripada asrama hinggalah kepada bilik suit eksklusif.

Menurut Zulkifli, resort yang dirasmikan bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Ng Yen Yen pada 2012 itu menyediakan 24 bilik dengan kapasiti 80 orang pada satu-satu masa.

“Resort yang berkonsepkan Nusantara ini sesuai untuk pengunjung solo atau berkeluarga dari dalam dan luar negara dengan pilihan makanan tempatan serta antarabangsa.

“Kami menyediakan pelbagai pakej pilihan dari segi penginapan, makanan dan aktiviti seperti snorkeling, selam skuba, berkayak, mendaki bukit dan banyak lagi,” katanya sambil memberitahu maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web www.ombak.my.

Menurutnya, hampir keseluruhan landskap dan dekorasi resort itu mendapat ilham peribadi beliau dan isteri yang gemar mengembara mencari idea serta melihat kehalusan seni masyarakat antarabangsa.

Sementara itu abangnya yang menguruskan pusat selam skuba Ombak Dive Resort, Shaharudin Sharif, 56, berkata, resort itu juga menjadi satu-satunya lokasi di Semenanjung yang menyediakan latihan selam skuba ‘rebreather’ kepada orang awam.

Katanya, selam skuba rebreather yang menggunakan dua tangki untuk pernafasan tanpa melepaskan buih atau gelembung udara sebelum ini hanya diguna pakai pasukan keselamatan seperti polis atau tentera.

“Kami menyediakan pelbagai pakej selam skuba untuk mereka yang baru hendak belajar mendapatkan lesen hinggalah kepada lesen lanjutan dengan pilihan jurulatih tempatan dan antarabangsa.

“Pulau Perhentian mempunyai banyak lokasi selam skuba dan boleh dikatakan setiap tempat mempunyai daya penarik yang tersendiri.

“Terdapat 15 lokasi selam skuba terkenal di sini antaranya Tokong Laut, Terumbu Tiga, Vietnamese Wreck, Sugar Wreck, D’Lagoon, Tanjung Besi, Sea Bell, Batu Tabir dan Tanjung Tukas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 2:46 PM