GAJAH bernama Lasah di LEA.
BERNAMA

Langkawi: Lasah, gajah berusia 37 tahun yang menjadi terkenal berikutan penampilannya dalam filem ‘Anna and The King’, akan memperoleh penjagaan lebih baik selepas Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar membenarkannya untuk terus tinggal di Langkawi Elephant Adventures (LEA) di sini.

Pengarah LEA Jason Loh, yang mengalu-alukan keputusan itu, berkata mereka akan memanfaatkan sepenuhnya keputusan itu untuk terus menambah baik kesejahteraan Lasah.

“Sebenarnya, kami sudah pun mematuhi semua garis panduan dan peraturan (antarabangsa) dalam mentadbir pengurusan serta pembabitan haiwan dalam program interaktif, malah sebelum garis panduan tersebut diwujudkan (dan dikuatkuasakan di Malaysia),” katanya kepada BERNAMA di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan kementerian baru-baru ini yang mengumumkan syor oleh sebuah jawatankuasa penilaian agar gajah tersebut kekal dalam jagaan LEA.

Jawatankuasa itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Alam Sekitar) Datuk Dr Azimuddin Bahari, dibentuk susulan lawatan kerja menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ke tapak LEA di Kampung Oriental di sini pada Mac lalu.

Menurut, kementerian tersebut, berdasarkan pemeriksaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Persatuan Taman-taman Zoologikal dan Akuarium Malaysia (Mazpa), gajah tersebut berada dalam keadaan baik.

“Pengurusan LEA akur kepada semua peraturan yang ditetapkan Perhilitan dan laporan ini disokong oleh konsultan bagi pengurusan hidupan liar,” katanya.

LEA juga dikehendaki supaya terus memberi laporan kesihatan terkini disediakan oleh veterinar yang dilantik dan mematuhi semua piawaian yang ditetapkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa berhubung kebajikan haiwan liar di dalam kurungan.

Beroperasi di Kampung Oriental di sini, LEA dikritik oleh badan bukan kerajaan (NGO), Friends of the Orang Utan (FOTO), sejak 2015, kerana didakwa mendera gajah dengan merantai dan menghalangnya daripada tidur.

NGO terbabit berterusan memainkan isu itu dengan menyebarkan dalam Internet gambar kononnya mamalia itu dirantai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 4:01 AM