MOHD Asri dan Noorazuralizma tabah menjaga dua permata syurga yang menghidap CP sejak berusia enam bulan.
Muhamaad Razis Ismail
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dua daripada lima anaknya hanya terlantar sejak lahir kerana menghidap Cerebral Palsy (CP) namun wanita cekal ini tidak pernah mengeluh kesusahan atau lelah.

Bagi Noorazuralizma Ibrahim, 35, dia dan suaminya, Mohd Asri Awang, 45, menerima kehadiran dua cahaya mata itu, Muhamad Qamarul Haikal, 13, dan Muhamad Shaqir, 12, sebagai ujian Allah SWT untuknya sekeluarga.

Berbeza dengan tiga anak lain, Muhammad Qamarul dan Muhamad Shaqir perlu diuruskan setiap keperluan seperti bayi dan tidak boleh berjalan sejak disahkan menghidap CP ketika usia enam bulan.

Sejak itu jugalah, Noorazuralizma tekad untuk menjaga permata syurganya hingga akhir hayat dan dia juga menerima mereka dengan hati terbuka.

Tiada istilah pilih kasih atau membanding kasih sayang apabila menjaga kedua-duanya dan tiga anak normal lain yang berusia tiga tahun hingga 10 tahun.

“Biarpun serba kekurangan dan memerlukan perhatian yang lebih sejak kecil lagi, saya tidak pernah membezakan mereka dengan anak yang lain.

“Susah macam mana pun, saya akan terus menjaga mereka biarpun berulang-alik hampir setiap bulan ke hospital kerana mereka perlukan rawatan.

“Hospital terutama Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menjadi rumah kedua saya,” katanya ketika ditemui di HUSM, baru-baru ini sedang menjaga Muhamad Shaqir yang ditahan di wad kerana demam campak sejak lebih seminggu lalu.

Mengimbas kembali detik kelahiran kedua-dua zuriatnyanya, surirumah sepenuh masa itu memberitahu, anaknya dilahirkan normal dan tiada beza dengan bayi lain.

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, mereka menunjukkan perubahan apabila tidak dapat meniarap dan badan mereka lembut biarpun berusia enam bulan.

“Selepas dirujuk ke hospital, saya terkejut apabila doktor sahkan mereka menghidap CP. Bukan hanya anak sulung, malah anak kedua juga begitu.

“Bermula itulah, hospital dah jadi macam rumah kedua kerana mereka bergilir-gilir dapatkan rawatan kerana kerap demam dan asma,” katanya yang tinggal di Kampung Berangan Hujung, Tumpat.

Menurutnya, sebagai ibu, sudah pasti dia merindui panggilan ‘mak’ daripada dua anaknya itu, namun memahami kekurangan dialami kedua-duanya.

Katanya, setiap bulan, segala keperluan termasuk lampin pakai buang, susu dan kos rawatan hospital mencecah ribuan ringgit sedangkan suaminya hanya tukang kebun dengan pendapatan RM800 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 5:28 AM