PAMERAN yang diadakan di The Ledge Art Gallery, Bandar Utama berlangsung sehingga 4 Jun.
Siti Fatimah Nasir
am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Seiring dengan kempen untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser buah pinggang, tujuh pelukis tempatan menghasilkan karya yang bertumpu kepada aspek pilihan terapi kepada pesakit melalui sebuah pameran.

Pelukis tempatan, Raja Azeem Idzham atau Ajim Juxta, 34, berkata, tujuan karya itu dibuat adalah untuk memberi kesedaran mengenai penyakit buah pinggang kronik melalui karya seni.

“Sebelum ini, saya hanya melukis berdasarkan abstrak biasa, tetapi kali ini saya ingin mencuba sesuatu yang baru dengan mengetengahkan unsur penyakit buah pinggang dalam setiap karya seni yang dihasilkan.

“Dalam karya ini, saya telah melukis sebuah bangunan dalam keadaan kucar-kacir yang berlatarkan kegelapan untuk memberi mesej kepada orang ramai supaya mereka berfikir bahawa kanser buah pinggang ini semestinya boleh diubati jika mereka mengambil langkah pencegahan awal,” katanya ketika ditemui selepas sidang media pelancaran kempen Life Uninterrupted di The Ledge Art Gallery, Bandar Utama, di sini, semalam.

Menurutnya, ibu bapanya juga menghidap penyakit kanser dan berdasarkan pengalaman lepas, dia mula menghasilkan sebuah karya berunsur penyakit kronik untuk tontonan orang ramai.

“Dalam seni, kita bukan hanya memberi orang ramai berfikir mengenai bahan dan cara seni ini dilukis, tetapi juga mahu mereka berfikir bahawa penyakit kanser bukanlah pengakhiran untuk segalanya.

“Penggiat seni juga perlu melakar sebuah karya seni yang bukan hanya untuk mengejar populariti tetapi menyelitkan dan memberi mesej kepada orang ramai mengenai penyakit kanser yang kini dilihat semakin kritikal,” katanya.

Hadir sama Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), Prof Goh Bak Leong; Ketua Jabatan dan Pakar Runding Nefrologi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Dr Lily Mushahar dan pesakit Dialisis Peritoneal (PD), Dr Suhaimi Masduki.

Sementara itu, Pengurus Besar Baxter Malaysia, George Kazzi berkata, penganjuran pameran itu adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit buah pinggang di samping pilihan rawatan yang ditawarkan oleh Baxter kepada pesakit.

“Melalui pameran ini, diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kesan penyakit buah pinggang, pilihan rawatan yang disediakan serta membantu pesakit membuat keputusan mengenai kaedah rawatan yang mereka inginkan di Baxter.

“Selepas pameran tamat, karya yang dihasilkan daripada tujuh pelukis tempatan ini akan didermakan ke pusat dialisis di seluruh negara,” katanya.

Pameran dibuka kepada orang ramai bermula 19 Mei sehingga 4 Jun di The Ledge Art Gallery yang turut menampilkan karya daripada Linga Rajan, Shahbandi Samat, WeekendImInLove, Raisyyah Yeap, Rachel Gray, Aleff Ahmad dan Ajim Juxta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 4:52 AM