ANGGOTA polis yang cedera akibat dilanggar suspek menggunakan motosikal.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis tidak putus asa mengejar penjenayah walaupun cedera teruk selepas dihimpit dan dilanggar suspek yang menunggang motosikal.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, suspek dipercayai pengedar dadah berusia 41 tahun melanggar motosikal dinaiki mangsa di Dataran Wangsa Maju, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang membuat rondaan cegah jenayah di Pasar Air Panas, di sini, terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis terbabit mengarahkan suspek berhenti untuk pemeriksaan, namun lelaki itu memecut ke arah Wangsa Maju sebelum dikejar.

“Sebaik tiba di lampu isyarat berhampiran Dataran Wangsa Maju di sini, suspek menghalang motosikal dinaiki anggota polis itu secara mendadak menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya.

Menurutnya, anggota polis itu luka pada tangan dan kaki bangkit dan mengejar semula penjenayah.

“Suspek akhirnya ditahan tidak jauh dari lokasi itu. Pemeriksaan menemui peket dadah jenis heroin seberat 0.68 gram pada lelaki itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 5:58 AM