IFTAR@KL 2017 disertai pelbagai lapisan masyarakat.
SEBANYAK 500 pelita dipasang di Dataran Merdeka.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dataran Merdeka, di sini bermandikan cahaya pelita apabila 500 pelita dinyalakan bagi menghidupkan tradisi masyarakat Melayu memasang lampu sepanjang malam tujuh likur menjelang 1 Syawal.

Namun bagi menjaga persekitaran serta keselamatan pengunjung di kawasan berkenaan, 500 pelita itu menggunakan kuasa bateri dengan waktu nyalaan setiap hari bermula jam 7 malam sehingga 12 tengah malam.

Pengurus Besar Biro Pelancongan Kuala Lumpur Khairul Anuar Mhd Juri berkata, semua pelita itu akan dipasang setiap hari selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Jun ini.

“Selain menghidupkan amalan seperti masyarakat desa, Malam Tujuh Likur@Dataran Merdeka juga menjadi simbolik kegembiraan warga kota menyambut kedatangan Aidilfitri di samping memberi pengalaman unik kepada pelancong asing di Kuala Lumpur.

“Program yang diadakan serentak dengan Iftar@KL 2017 bukan saja menghidupkan suasana berbuka puasa yang meriah bersama pelbagai lapisan masyarakat, malah dijadikan produk pelancongan tahunan Kuala Lumpur sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Malam 7 Likur@Dataran Merdeka Sempena Program Iftar@KL 2017 di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli.

Sementara itu, pelancong Jerman Zepth Freimuth, 23, berkata, dia gembira apabila turut berpeluang menyertai aktiviti berbuka puasa sekali gus dapat memahami Islam dengan lebih mendalam.

“Saya begitu tertarik dengan program Iftar@KL 2017 yang berkonsepkan duduk, berbuka dan beribadah beramai-ramai.

“Ini sekali gus melambangkan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum serta keamanan,” katanya.

Iftar@KL 2017 yang diadakan pada 3, 4, 10, 11, 17 dan 18 Jun menampilkan 16 komponen antaranya penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, pameran pelancongan Islam, tadarus al-Quran, tazkirah Ramadan, kapsul Ramadan, sukarelawan, Klinik Tahsin al-Quran, jualan trak makanan, kaunter zakat, majlis berbuka puasa (Iftar), solat berjemaah (Maghrib, Isyak dan Tarawih), Bicara Ramadan (Ramadan Talk), konsert Ramadan dan moreh.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Megara (JKKN) dengan kerjasama pelbagai agensi itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan persefahaman antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 10:27 AM