MAS Imran (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek RM1 juta kepada Dr Mohd Zin, semalam.

Johor Bahru: Humanitarian Care Malaysia (MyCare) mengenal pasti projek baru bagi membantu umat Islam di Gaza, Palestin.

Ahli Pemegang Amanah MyCare merangkap Pengerusi MyCare Johor, Profesor Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata, projek terbabit menyasarkan pembangunan sektor kesihatan yang penting kepada masyarakat Gaza.

Katanya, sejak rejim Israel membuat serangan di Gaza terutama selepas serangan pada 2014, banyak pusat kesihatan dan hospital rosak sekali gus tidak dapat menyediakan perkhidmatan kepada pesakit.

“Kami dalam perancangan untuk menaik taraf beberapa hospital atau pusat kesihatan di Semenanjung Gaza. Sebelum ini akibat serangan rejim Israel, banyak hospital rosak dan kekurangan fasiliti sehingga menyebabkan kanak-kanak, wanita dan orang tua tidak mendapat rawatan yang diperlukan.

“Bagaimanapun, kami belum memutuskan untuk pembinaan hospital di lokasi mana kerana menunggu laporan daripada Pejabat MyCare yang diuruskan badan sukarela masyarakat di Gaza kerana mereka lebih mengetahui keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan RM1 juta oleh Pasaraya Econsave bagi pembinaan semula Sekolah As Solah di Gaza yang menelan belanja RM2.5 juta.

Sumbangan diserahkan Pengurus Kanan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd Mas Imran Adam. Turut hadir, beberapa wakil MyCare.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata, RM2.1 juta diserahkan kepada MyCare sejak memulakan kutipan dana kemanusiaan pada 2015 sehingga kini membabitkan 60 cawangan pasar raya terbabit di seluruh negara.

Katanya, RM400,000 diperlukan untuk program berkenaan dan pihaknya akan meneruskan kempen dalam beberapa bulan lagi.

“Saya juga dimaklumkam pembinaan Sekolah As Solah yang menempatkan 700 anak yatim itu sudah siap 95 peratus dan dijangka memulakan sesi persekolahannya kepada anak Gaza mulai September ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 6:24 AM